Tuesday, 9 October 2012

RUMUSAN

Perbuatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme kian hari menular di negara kita . Harta benda awam telah dirosakkan sewenang – wenangnya . Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengundang pelbagai komplikasi . Pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta – juta ringgit untuk memperbaiki kemudahan awam yang telah dirosakkan oleh individu yang tidak mempunyai “ perasaan memiliki “ setiap kemudahan yang disediakan .
     Banyak perkara yang dapat dilakukan oleh masyarakat untuk membanteras vandalisme daripada terus menerus berleluasa . Pendidikan merupakan tunjang atau paksi utama yang dapat mengubat penyakit sosial ini . Di peringkat sekolah , pendidikan diharap mampu mencambahkan kesedaran cinta terhadap harta benda awam . Di samping itu, masyarakat setempat pula perlu prihatin dan berasa terpanggil untuk mengambil tindakan tanpa perlu mengharapkan pihak berkuasa membuat tangkapan . Dalam hal ini , Jawatankuasa Perumahan yang berkenaan perlu bergabung tenaga untuk membuat kawal selia di kawasan masing – masing .      Kepada pesalah – pesalah vandalisme pula , hukuman yang lebih berat perlu dikenakan sebagai suatu jalan pencegahan yang paling baik . Ada cadangan daripada pihak masyarakat yang mahu supaya para pesalah didenda melakukan kerja pembersihan di kawasan – kawasan awam , seperti membersihkan tandas dan sebagainya. Denda ini adalah sebagai pengajaran kepada individu lain agar menjauhkan diri daripada perbuatan vandalisme . Kita boleh juga mengambil contoh dari negara Singapura yang menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah vandalisme . Selain itu, langkah bersama yang boleh diambil adalah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia , Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ).      Di ibu negara , Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa Antivandalisme yang turut dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan . Kerana menyedari hakikat bahawa pelajar merupakan aset penting dan generasi wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan , maka  Jawatankuasa Antivandalisme ini telah melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama menjayakan kempen ini . Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan “ Harta Benda Awam Milikku – Milikmu “ . Pertandingan seperti ini penting untuk menanamkan sifat bertanggungjawab dan menyemaikan perasaan sayang terhadap harta benda awam .

No comments:

Post a Comment