Wednesday, 3 October 2012

seni kraf pua

Adalah dipercayai bahawa di antara abad ke-7 sebelum masehi sehingga abad pertama selepas  Masehi, tenunan Iban telah dipengaruhi oleh beberapa budaya asing.  Ini termasuk kebudayaan Dongson, zaman Gangsa di Annam (Vietnam Utara) dan Dinasti Chou terakhir Negeri China.

Pua iaitu tenunan ikat warisan turun-temurun suku kaum Iban yang memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup mereka.  Pada zaman dahulu, tukang tenun dikatakan menerima rekacorak tenunan pua dari mimpi.  Rekacorak yang terhasil menonjolkan unsur-unsur estetika dan mistik yang tersendiri.

Warna-warna asli seperti perang kemerahan, biru tua dan merah telah dihasilkan menggunakan pewarna asli.  Dahulu, warna-warna ini diperolehi daripada bahan semulajadi seperti akar mengkudu, daun tarum, kunyit dan daun pokok engjerebai.

Motif tumbuh-tumbuhan, binatang seperti engkarung dan buaya, serta lembaga manusia (engkaramba) memaparkan keunikan rekacorak tradisional tenunan pua.  Kini, motif moden seperti bentuk tumbuhan dan geometri lebih digemari.  Unsur budaya Dongson pula amat ketara dalam penampilan motif keluk dan pilin berganda di samping motif tempatan yang memancarkan unsur alam.

Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga telah dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi seperti bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket), pua kumbu (selimut tradisional) dan dangdong (kain selempang).

No comments:

Post a Comment